Makanan bahagian 2
Waktu Atok muda-muda dahulu, makanan yang Atok sering disuapkan adalah ubi kayu. Jika hendak dikatakan, ubi kayu adalah makanan utama yang dimakan oleh seluruh kampung Atok dahulu. Maklumlah, dahulu kita hidup tidaklah senang jadi walaupun kita hanya disuapkan dengan ubi kayu pun, kita sudah bersyukur kerana masih diberi alas perut.
Walaupun begitu, ubi kayu masih tetap menjadi makanan kegemaran Atok hingga sekarang. Jika ada kesempatan, Atok akan membeli ubi kayu di bawah rumah dan menyuruh Nenek rebuskan. Dimakan pula dengan sambal belacan, aduh meleleh air liur Atok sekarang. Hehehe.
Dahulu, tidak sah jika kita makan tanpa sambal belacan! Malah, jika sehari tidak makan sambal belacan dengan apa-apa yang dimakan, rasanya seperti janggal. Rasanya seperti mandi tanpa air, tidur tanpa melelapkan mata. Ianya mungkin disebabkan oleh kebiasaan orang-orang Melayu memakan sambal belacan setiap kali tiba masanya makan. Mungkin juga disebabkan betapa sedap dan pedasnya rasa sambal belacan yg dibuat sendiri.
Atok sebenarnya sangat gembira kerana sambal belacan masih merupakan sesuatu yang diminati oleh orang-orang muda sekarang walaupun ianya merupakan makanan orang lama. Atok sangat berharap agar orang-orang muda zaman sekarang tidak akan melupakan makanan tradisional yang diturunkan oleh nenek-moyang kita agar ia tidak ditenggelami oleh makanan-makanan segera yang kini sedang meluas di merata tempat.