Jodoh bahagian 1
Sekali-sekala, Atok akan turun ke bawah rumah untuk mengambil angin sambil merehatkan mata melihat persekitaran.
Tetapi, yang hairannya, lain pula yang Atok lihat.
Sepasang kekasih sedang hangat dibuai asmara, tangan dipautkan bersama, jalan dengan langkah yang beriringan. Pendek kata, sedang hangat bercinta-cintun lah! Yang lebih menghairankan lagi, ada juga yang sedang berada di peringkat sekolah rendah! Wah, mudanya sudah 'mengenal' erti cinta!
Teringat pula Atok di saat Atok dipasangkan dengan Nenek. Aduh, malu pula hendak bercerita tetapi, untuk maklumat bersama, apa salahnya bukan? Ya, cucu-cucu tidak tersalah baca. Atok memang dipasangkan dengan Nenek.
Meh, Atok cerita sikit.
Isteri Atok sebenarnya dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina tetapi dibesarkan oleh sebuah keluarga Melayu. Tap tup tap tup, Atok dipasangkan pula dengan Nenek. Gementar juga rasanya hati Atok! Maklumlah, Atok tidak pernah lihat pun wajah Nenek! Takut-takut pula gigi jongang kah, mata kero kah, hidung senget kah. Hehehe, tidaklah, Atok bergurau sahaja. Pada Atok, rupa dan wajah tidak penting. Asalkan hati cantik dan niat murni sudahlah.
Hari yang dinanti-nantikan tiba juga akhirnya...