Permainan bahagian 1
Atok sedang duduk berehat di atas sofa yang sudah lama menabur jasa kepada keluarga Atok sambil menonton berita di RTM 1. Wah, nyamannya perasaan Atok. Apatah lagi, kipas berdiri betul-betul di sebelah Atok. Rasanya seperti di tepi pantai.
Tercari-cari pula kedua cucu lelaki Atok yang selalunya bising bukan kepalang.
"Eh Adek, cepat tumbuk monster tu Adek, cepat! Ah..ah! Tendang Adek, tendang!!", si abang bijak mengarah adiknya yang baru berumur 5 tahun itu. Kelihatan kedua-dua beradik itu sedang asyik bermain PSP kepunyaan abang mereka.
Teringat pula Atok pada waktu dahulu semasa Atok masih lagi digelarkan setahun jagung.
Selepas sekolah sahaja, Atok akan cepat-cepat melontarkan beg sekolah ke atas tilam, tukar baju dan terus keluar rumah semula untuk bertemu rakan-rakan lain. Semuanya dilakukan dengan sepantas kilat hanya untuk satu tujuan; bermain-main bersama mereka.